Gaya seni Edgar_Degas

Degas sering dikaitkan dengan Impresionisme, satu pemerian yang difahami akan tetapi tidak mencukupi. Impresionisme diasaskan dalam tahun 1860 dan 1870-an dan berkembang dengan bantuan realisme pelukis seperti Gustave Courbet dan Jean-Baptiste-Camille Corot. Para pelukis Impresionis melukis kenyataan dunia dengan menggunakan warna cerah, dan "berkilau", dan menumpukan perhatian terhadap kesan cahaya dengan harapan memberi lukisan mereka perasaan kedekatan.

Dari sudut teknik, Degas berbeza daripada para Impresionis kerana beliau tidak "menggunakan bintik-bintik warna Impresionisme",[4] dan beliau sentiasa memperkecilkan amalan para Impresionis yang lazimnya melukis di luar (en plein air).[5] Mengikut sejarawan seni Carol Armstrong, "Beliau sering kali anti-impresionisme seiring dengan para pengkritik pameran lukisan"; seperti kata Degas, "tiada seni yang kurang spontan seperti seni saya. Apa yang saya lakukan ialah hasilan renungan dan kajian pelukis agung; saya tidak tahu-menahu tentang inspirasi, kespontanan, temperamen."[6] Walaupun demikian, beliau lebih tepat diperikan sebagai seorang Impresionis daripada ahli pergerakan seni yang lain. Lukisan beliau tentang kehidupan di Paris, uji kaji warna dan bentuk, karangan sipi pusat dan persahabtannya dengan beberapa pelusi Impresionis penting —khususnya Mary Cassatt dan Edouard Manet—kesemua ini mengukuhkan kaitan beliau dengan pergerakan Impresionisme.[7]

L'Absinthe ("Absinte"), 1876, minyak dan kanvas, Edgar Degas

Gaya Degas mencerminkan rasa hormatnya yang mendalam terhadap pelukis agung (beliau merupakan seorang penyalin yang amat bersunguh-sungguh sehinggalah zaman pertengahan usianya)[8] dan mengagumi Ingres dan Delacroix. Beliau seorang pengumpul cetakan Jepun, dan karyanya dipengaruhi oleh prinsip-prinsip bentuk seni cetakan-cetakan tersebut. Walaupun beliau terkenal kerana lukisan kuda dan penari, Degas bermula dengan lukisan sejarah biasa seperti lukisan The Young Spartans ("orang Sparta muda"), yang pada masa itu sudah menampakkan perkembangannya ke arah pengolahan bentuk tubuh yang kurang idealis.

Dalam zaman kerjaya awalnya, Degas juga melukis potret individu dan kumpulan; contoh ialah lukisan The Bellelli Family ("Keluarga Bellelli") (c.1858–67), sebuah potret makcik, pakcik dan sepupunya yang digambarkan secara hebat dan memilukan. Di dalam lukisan ini, seperti juga The Young Spartans dan banyak lagi karya terkemudianya, Degas tertarik dengan ketegangan antara wanita dan lelaki. Lukisan-lukisan awalnya memberi petunjuk kepada karya matangnya yang melibatkan pemangkasan kekok subjek dan sudut pandangan luar biasa.